Aish secara rasminya berusia genap 2 tahun tanggal 11 November lalu jam 8.47pm. Alhamdulillah Allah masih panjangkan usia anak mama ni. Semoga menjadi seorang yang soleh dan bijak dan taat pada perintah Allah hendaknya.
Teringat pula waktu mula-mula dapat tahu saya pregnant dahulu. Perasaan gembira bercampur baur dengan rasa cuak dan takut. Iyalah, belum pernah jadi mak orang, siapa yang tidak cuak kan? Ditambah pula dengan perasaan takut untuk menghadapi saat-saat bersalin nanti.
Apapun, syukur alhamdulillah, sepanjang tempoh hamil tidak sekali pun saya mengalami morning sickness (atau bagi sesetengah tu, all day sickness). Kalau ada pun, cuma rasa mual yang belum sampai ke tahap hendak muntah.
Melahirkan Aish juga bukanlah suatu pengalaman yang mengerikan seperti yang dialami oleh segelintir kenalan saya. Lebih-lebih lagi dengan bantuan epidural, pengalaman melahirkan bagi saya lebih banyak manis daripada pahitnya, segala puji bagi Allah. (Mungkin sebab itu juga, Aish cepat dapat adik hehehe)
Dalam pada kami bergembira menyambut ulangtahun Aish, sehari sebelum itu, saya dan rakan-rakan sepejabat dikejutkan dengan berita kehilangan anak salah seorang sahabat kami. Anak comel itu baru berusia 8 bulan. Lebih menyedihkan perginya kerana tercekik (tidak pasti susu atau apa). Saya dan beberapa rakan-rakan breastfeeding mom amat-amat terasa. Apa tidaknya, kami dengan ibu arwah biasa berjumpa di mother’s room semasa membuat aktiviti harian kami. Dan yang pasti, cerita-cerita kami di dalam bilik itu kebanyakannya berputar mengenai cerita anak masing-masing.
Bak kata salah seorang daripada kami, “Kita kat sini dah macam anak kau anak aku, anak aku anak kau dah.”
Makanya, kami amat-amat terasa akan pemergian bayi comel itu. Kalau boleh dipindahkan sedikit derita ibunya kepada kami kerana kami ingin berkongsi kedukaannya. Iyalah, bayangkan sahaja muka comel yang ditatap setiap hari pulang kerja, yang dicium-cium, diagah-agah, tiba-tiba semua itu tiada lagi dalam sekelip mata. Hatta memikirkan sahaja tentang itu, sudah terasa ingin menitis air mata. Apatah lagi itu bayi beliau yang pertama.
Alangkah besar ujian Allah terhadap beliau dan suami. Selayaknyalah hanya orang-orang yang terpilih sahaja diberikan dugaan sebegini. Semoga mereka dikurniakan kesabaran dan ketabahan melalui saat-saat getir ini. InshaAllah, perginya anakanda mereka itu dalam keadaan bersih dan suci dari sebarang dosa. Mudah-mudahan ditunggui ibu-bapa nya di syurga sana. Ameen.
Pengajaran buat saya dan semua, hargailah zuriat dan apa sahaja yang dikurniakan Allah kepada kita, dan ingat, segala yang kita ada hanyalah dipinjamkan oleh Allah. Segalanya telah ditetapkan kadarnya. Sama ada, kita yang meninggalkan atau kita yang akan ditinggalkan.
semoga si ibu & bapa baby kecil itu byk2 b’sabar dgn dugaan tuhan.
Betapa hebat dugaan Allah pd umatnya. Semoga kt m’dapat iktibar dr kejadian t’sebut.